twitter
rss

Kononya la...Tapi okay apa!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Aktiviti memasak pada kali ini agak berlainan, disebabkan keseluruhan proses memasak dilakukan oleh  murid-muris saya. Malahan watak dalam video ini juga seratus peratus mereka berempat. Mungkin agak kaku, kekok dan janggal, namun apa yang mereka lakukan amat hebat! Bukan sebarangan orang yang mampu melakukannya, bahkan murid-murid normal juga tidak semua yang dapat berinteraksi dihadapan kamera seperti mereka. Daripada pengalaman saya, orang dewasa juga akan gugup bila berhadapan dengan kamera dan adakalanya terus kaku.

Lantas, sedikit penghargaan kepada mereka yang tekad untuk merealisasikan video ini saya selitkan intro Masterchef Malaysia sebagai pembakar semangat.

Kali ini murid yang terlibat adalah Meisi binti Nobi (MEISI), Normi a/p Mat Nor (NORMI), Nur Salwani binti Hairuddun (WANI) dan Mohd Isham bin Zakaria (ISHAM) dalam menyedia dan menyiapkan sajian Puding Laici.

Saksikanlah JUNIOR MASTERCHEF SK KROH 2011



Begitulah video yang terhasil walaupun tanpa sebarang latihan atau 'rehearsal'. Pelbagai telatah mereka dalam menyediakan sajian Puding Laici. Tetapi kesungguhan dan keterujaan mereka amat mengagumkan saya. Tidak sabar sekali mereka untuk menyaksikan video lakonan mereka dipertontonkan tambahan Meisi yang menjadi 'hos' rancangan ini.

Sebuah video yang hanya sembilan minit, akan tetapi amat mengujakan. Terima kasih kepada murid-murid yang telah menjayakannya dengan cemerlang. Terima kasih kepada Meisi binti Nobi (MEISI), Normi a/p Mat Nor (NORMI), Nur Salwani binti Hairuddun (WANI) dan Mohd Isham bin Zakaria (ISHAM) kerana membuktikan anda mampu menyamai orang lain. Anda semua setaraf dengan yang di kelas normal sekiranya anda berkeyakinan dan berusaha bersungguh-sungguh.

Jadilah yang terbaik untuk diri anda supaya anda dihargai.

NORMI, ISHAM, ZUL, FAIRUZ dan MESI (Maaf tak sempat nak masukkan gambar WANI)

Wassalam.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..


Sebelum ini saya telah poskan video 'Mikropengajaran' berkenaan nutrisi pemakanan di dalam blog ini dan pada kali ini saya poskan pula 'Makropengajaran' iaitu sambungan kepada 'Mikropengajaran' yang lepas.


Sebelum anda meneruskan untuk membaca entry kali ini, terlebih dahulu sila saksikan video ini dahulu.


Saksikanlah 'Makropengajaran: SALAD BUAH'





Terima kasih kerana sudi menonton dengan sabar.


Resepi kali ini agak mudah dan senang untuk dipraktikkan oleh murid-murid pendidikan khas atau kanak-kanak istimewa. Penyediaan hidangan ini tidak memerlukan penggunaan api untuk memasak kerana hidangan ini tidak perlu dimasak! yang perlu hanyalah 1-memotong, 2-menuang atau mencampur, 3-menggaul sebati, 4-mendingin sejuk, seterusnya 5-menghidang dan 6-makan! 6M! Itu sahaja. Mungkin teori 6M agak panjang dan susah untuk diingati, tapi percayalah hidangan ini amat mudah.


RESEPI


Berikut juga saya sertakan resepi salad buah-buahan untuk anda cuba.


Bahan-bahan:

  1. Buah epal (1 biji)
  2. Buah jambu batu (1 biji)
  3. Buah pear (1 biji)
  4. Kismis (segenggam atau ikut suka)
  5. Asam manis (2 atau 3 jenis)
  6. Susu sejat (250 ml)


Cara-caranya:

  1. Potong dadu semua buah yang ada.
  2. Hiris asam manis dalam saiz kecil.
  3. Gaulkan buah dan asam serta biarkan seketika.
  4. Masukkan susu sejat yang setara dengan jumlah buah.
  5. Masukkan kismis sebagai hiasan.
  6. Masukkan ke dalam peti sejuk untuk seketika sebelum dihidangkan.


* Hidangan ini sesuai disajikan sejuk.
* Untuk maklumat berkenaan nutrisi pada hidangan ini sila klik Nutrisi Pemakanan iaitu entry saya yang terdahulu berkaitan khasiat dalam resepi ini.


Kepada semua pembaca! SELAMAT MENCUBA!


Sekian dan Wassalam.




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Hari ini adalah hari terakhir tahun hijrah 1432. Meninggalkan pelbagai kisah suka dan duka. Menyaksikan kejayaan dan kemenangan insan-insan yang bertuah. Tidak kurang juga terawang-awang kekalahan dan kepahitan apabila ada kehilangan. Namun, kehidupan harus diteruskan. Jadikanlah hidup yang mendatang lebih bahagia, lebih ceria, lebih ketenangan dan lebih kebaikan dalam keimanan.

 Salam Maal Hirah 1433 kepada semua rakan dan sahabat, rakan PPG PJJ UPSI seluruh Malaysia dan sesiapa  sahaja yang mengenali diri saya.





Wassalam.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Mungkin disebabkan saya menjadikan subjek Kemahiran Hidup dan mengkhusus dalam aktiviti penyediaan makanan sebagai tema blog ini juga disebabkan saya sering mengajar murid dengan pelbagai sajian ringkas saya amat tertarik dengan kebolehan kanak-kanak pada tahap murid saya sebagai menyamail kemahiran atau skill chef yang profesional.

Sebenarnya telah lama saya mengikuti rancangan Mastercef di negara lain sebelum rancangan ini diterbitkan di Malaysia mengikut format yang sama.



Daripada semua yang saya tonton, yang paling menarik perhatian saya adalah rancangan "Junior Masterchef Australia" edisi yang pertama. Amat mengujakan! Sekumpulan kanak-kanak pada umur 9 hingga 12 tahun memasak dengan skill yang menyamai seorang chef yang terlatih malahan pada satu tahap boleh mangatasi chef profesional! Hebat!

Apa pun yang ingin saya ketengahkan di sini adalah, peluang harus diberikan kepada setiap insan untuk belajar. Ini dibuktikan dengan kanak-kanak dalam rancangan "Junior Masterchef Australia" ini. Tidak kurang juga apa yang telah dibuktikan oleh murid saya. Mungkin mereka ada kekurangan, tapi mereka tetap ada hak. Hak untuk mengetahui!

Wassalam.


Sekiranya anda melihat kata laluan (password) anda tersenarai di bawah ini, HENTIKAN!

Sebelum anda membaca keseluruhan artikel ini, sila gantikan kata laluan (password) anda serta merta -- sebelum anda terlupa. Anda berkemungkinan melakukannya di banyak tempat disebabkan kata laluan (password) anda mungkin digunakan semula (yang sama) dibeberapa akaun yang berbeza.

Disenaraikan dua senarai dibawah ini, senarai yang pertama disediakan oleh SplashData:


  1. password
  2. 123456
  3. 12345678
  4. qwerty
  5. abc123
  6. monkey
  7. 1234567
  8. letmein
  9. trustno1
  10. dragon
  11. baseball
  12. 111111
  13. iloveyou
  14. master
  15. sunshine
  16. ashley
  17. bailey
  18. passw0rd
  19. shadow
  20. 123123
  21. 654321
  22. superman
  23. qazwsx
  24. michael
  25. football

Pada tahun lepas, Imperva melihat kepada 32 juta kata laluan (password) yang dicuri dari RockYou, laman sesawang yang digodam (a hacked website), dan menerbitkan senarai sepuluh teratasnya yang terburuk iaitu:


  1. 123456
  2. 12345
  3. 123456789
  4. Password
  5. iloveyou
  6. princess
  7. rockyou
  8. 1234567
  9. 12345678
  10. abc123

Sekiranya anda telah sampai ke para ini dan masih lagi tiada tersenarai kata laluan (password) anda, tanhiah! ini memang berita baik. Akan tetapi, sila ambil perhatian bahawasanya kata laluan (password) tersebut juga dirumitkan dengan mencampur adukkan abjad dan nombor, sebagi contoh 'passw0rd' (dengan abjad "o" digantikan dengan nombor "kosong" (0)) juga telah termasuk dalam senarai 2011. "abc123" adalah kata lauan (password) yang dicampuradukkan juga tersenarai di kedua-dua senarai di atas.

Pada tahun lepas, Imperva mencadangkan suatu senarai amalan terbaik penggunaan kata laluan (password best practices), dicipta oleh NASA bagi membantu mereka melindungi sains roket mereka, senarai tersebut adalah:

  • mengandungi minimum lapan (8) huruf.
  • mengandungi minimum empat (4) jenis huruf (charecters) yang bersbeza iaitu ABJAD HURUF BESAR (upper case letters), abjad huruf kecil (lower case letters), nombor dan huruf istimewa (special characters) seperti '!@#$%^&*,;:". Sekiranya sekadar hanya satu abjad atau satu huruf istimewa, sepatutnya tidak diletakkan pada kedudukan yang pertama mahupun yang terakhir pada kata laluan (password) tersebut.
  • jangan letakkan nama, perkataan slanga (slang word) atau sebarang perkataan yang terdapat dalam kamus. Jangan letakkan sebahagian daripada nama anda atau alamat emel anda.

Sekiranya anda patuh pada saranan ini, insyaAllah, ini bermakna anda telah mencipta kata laluan (password) yang mustahil untuk digodam atau sekurang-kurangnya anda telah mencuba yang disarankan oleh guru keselamatan maya Bruce Schneir: Mengolah perkataan kepada Kata laluan (Turn a sentence into a password).

Sebagai contoh, "Now I lay me down to sleep" yang mungkin menjadi nilmDOWN2s, kata laluan 10-huruf yang tak akan ditemui di dalam sebarang kamus.

Sukar mengingati kata laluan (password) tersebut? Schneir berpendapat tidak menjadi masalah untuk menulis kata laluan tersebut dan simpan di dalam dompet anda, atau sebaiknya hanya menjadikannya sebagai 'pembayang' di dalam dompet anda. Bukan sekadar merangkumi dalam senarai kegunaan pada tugasan seharian sahaja. Cubalah menggunakan kata laluan (password) yang berbeza pada setiap perkhidmatan yang anda gunakan, tetapi sekiranya anda tidak berhasil untuk berbuat demikian sekurang-kurangnya bangunkan satu set kata laluan (password) yang boleh anda gunakan terhadap setiap tapak perkhidmatan yang berlainan.

Suatu hari nanti, kita akan menggunakan skim pengesahan identiti (authentication schemes), mungkin biometrik yang tidak memerluakan terlalu banyak tapisan untuk melindungi data kita. Akan tetapi, dalam masa yang sama, kenyakan kita mempunyai kata laluan (password), dari itu kata laluan perlu cukup mantap sejajar dengan tanggungjawab yang dipikul.

oleh David Coursey | Forbes

Terjemahan dari Yahoo! News
url: http://finance.yahoo.com/news/25-worst-passwords-2011-revealed-202955980.html


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Kali ini saya membuat sedikit perbezaan terhadap teknik pengajaran saya terhadap murid saya di kelas. Umumnya tahu mereka ini terdiri dari kalangan yang lemah tahap pembelajaran mereka sehingga pada satu tahap setiap kali sesi ulangkaji pelajaran menjadi satu medan juang untuk mendengar ungkapan yang betul dari bibir mereka.

Pada 3 November lalu, saya telah mengadakan satu sesi pengajaran makro dan mikro di dalam kelas saya sebagaimana tugasan yang diberikan oleh UPSI. Saya mengajar mereka tentang khasiat atau nutrisi dalam makanan yang saya tumpukan kepada pemakanan buahan. Terdapat 4 jenis buah yang saya perkenalkan kepada pelajar iaitu:

1. Epal;
2. Jambu batu;
3. Pear; dan
4. Kismis.

Agak kelakar juga disebabkan ada dikalangan mereka yang tidak mengenali buah ini. Apatah lagi yang tidak dapat dicam itu adalah buah 'jambu batu'! MasyaAllah... Nak pecah perut dibuatnya. Tapi tak mengapa, mencuba lebih baik dari berdiam diri.

Baiklah, sebenarnya pada hari ini juga saya mengajar mereka membuat satu sajian mudah...tapi berkhasiat dan sememangnya sedap (boleh la tahan juga rasanya)- Salad buah-buahan.

Pendekatan kali ini adalah untuk menerangkan kepada pelajar betapa pentingnya buah-buahan sebagai pembekal khasiat kepada sistem metabolisma badan yang memberikan keseimbangan dalam pemakanan dan kesihatan. Saya matangkan persembahan 'slide' yang menggunakan 'Microsoft Office Power Point' sebagai perisian alat bantuan mengajar yang dipancarkan melalui 'pemancar slaid' untuk tontonan pelajar sambil mendengar penerangan sari saya. Jika dilihat pada persembahan slaid yang saya sediakan sememangnya persembahan itu terlalu jauh untuk mereka fahami. Namun dasar penyediaan persembahan slaid itu adalah satu bentuk tujahan psikologi kepada mereka. Mudah sahaja. Apabila mereka melihat senarai nutrisi yang semakin banyak, mereka akan tahu bahawa buah itu lebih baik untuk dimakan walaupun mereka tidak memahami makna yang tersenarai itu. Tidak ketinggakan juga, turut saya terangkan berkenaan khasiat dan faedah daripada pemakanan buah-buahan tersebut.

Untuk lebih memahami maksud yang saya sampaikan, silalah lihat slaid di bawah ini.




Wassalam.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...


Agak lama tiada 'post' untuk blog ini dek kerana terlalu sibuk dengan tugasan harian di kelas malahan tugasan pelajaran PPG PJJ UPSI yang agak memenatkan.


Pagi tadi satu acara ibadat korban telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Kroh. Saya turut turut serta dalam ibadat korban pada tahun ini dan mudah-mudahan beroleh keberkatan.


Mungkin agak terlewat, namun dikesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua yang mengenali khasnya yang beragama Islam.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1432, Maaf Zahir dan Batin.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Sebelum saya meneruskan penulisan blog ini lebih lanjut, molek kiranya dicungkil sedikit berkenaan sejarah penubuhan Program Pendidikan Khas Intergrasi Bermasalah Pembelajaran atau PPKI tempat saya bertugas bermula pada 2004 sehingga kini.

~ Sekadar gambar hiasan: antara murid PPKI S. K. Kroh ~
Sekolah Kebangsaan Kroh adalah sebuah sekolah yang terletak di Pengkalan Hulu, Perak, sebuah pekan kecil yang terletak di utara negeri Perak Darul Ridzuan. Sekolah ini merupakan sekolah gred A dan berada di kawasan pekan . Murid-murid Sekolah Kebangsaan Kroh terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Siam, Asli dan Kadazan. Sekolah ini terletak di tengah-tengah kawasan Pengkalan Hulu menyebabkan ianya menjadi pusat pelbagai kegiatan pendidikan misalnya Pusat Kegiatan Guru (PKG) telah dibina di kawasan sekolah ini.

Oleh kerana kedudukannya yang strategik ini telah membawa kepada pemilihan untuk mengadakan satu program pendidikan untuk golongan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran iaitu Program Intergrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Pada tanggal 16hb Julai 1998, PKBP telah dibuka dengan rasminya di Sekolah Kebangsaan Kroh dengan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia Tuan Haji Norul Bashah bin Yaakob.

Sebelum PKBP dibuka, maklumat murid diperolehi daripada laporan kemajuan murid dan prestasi murid di kelas pemulihan di 7 buah sekolah kebangsaan, 2 buah sekolah jenis kebangsaan cina dan sebuah sekolah jenis kebangsaan tamil yang berada di perkampungan dan kawasan pekan Pengkalan Hulu dan Klian Intan. Seramai 8 orang murid telah dikenalpasti sebagai murid berkeperluan khas yang memerlukan program khas ini. Kategori permasalahan murid-murid awal pembukaan ini terdiri dari 3 orang mental retardation, 1 orang sindrom down dan 4 orang slow learner. Sambutan daripada ibu bapa yang mempunyai anak bekeperluan khas amat memberangsangkan menyebabkan pada bulan Ogos 1998 berikutnya, seramai 3 orang murid didaftarkan di PKBP dengan penambahan 1 orang guru. Dengan jumlah murid seramai 8 orang dan 3 orang guru telah melayakkan 2 kelas dibuka yang diberi nama kelas Melati dan Kenanga.

Murid-murid ini diagihkan mengikut tahap keterukkan tanpa mengira umur. Kelas Melati menempatkan murid-murid yang lebih rendah prestasinya berbanding murid-murid di kelas Kenanga. Pengagihan ini adalah bertujuan memudahkan guru merancang dan menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran berdasarkan keupayaan dan keperluan murid-murid pendidikan khas berkenaan. Pada tahun awal kelas PKBP ini dibuka, guru-guru pendidikan menyediakan minuman dan makanan kerana murid-murid tidak dapat mengurus diri mereka dan membeli makanan sendiri di kantin. Oleh itu guru-guru pendidikan telah mengajar mereka mengenai etika makan dan kemahiran berinteraksi. Setelah mereka telah menguasai barulah mereka dibawa makan di kantin sekolah.

Bangunan kelas PKBP telah dinaiktaraf sebanyak 4 kali sepanjang hampir 10 tahun untuk memberi keselesaan kepada murid-muridnya. Di awal pembukaannya pada 1998, bangunan lama peninggalan zaman penjajah ini telah diubahsuai menjadi 2 ruang petisyen kelas, 1 ruang rekreasi, 1 buah bilik penyelaras,1 bilik dapur, sebuah bilik mandi, 2 buah tandas dan gril besi dipasang di seluruh kelas.

Pada tahun 2002, kelas PKBP ini telah dinaiktaraf lagi dengan memasang jubin di tandas dan bilik dapur serta memperbaiki tingkap yang rosak. Pengubahsuai telah dilakukan kali ke 3 dalam tahun 2007 di mana 4 ruang pengajaran dan pembelajaran diadakan dan seluruh lantai kelas telah dipasangkan dengan jubin. Dalam tahun 2008, bumbung bangunan di ganti,membaiki siling serta ruang legar yang berbumbung di hadapan bangunan telah diadakan. Selain itu juga pendawaian elektrik dibuat dan bangunan juga telah dicat semula.

Sehingga kini jumlah keseluruhan murid-murid pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Kroh adalah seramai 44 orang termasuk 9 orang telah melanjutkan persekolahan di kelas PKBP Sekolah Menengah Pengkalan Hulu, 21 orang berada di kelas PKBP Sekolah Kebangsaan Kroh, 5 orang berpindah dan meneruskan persekolahan di tempat lain dan selebihnya seramai 9 orang telah berhenti sekolah kerana permintaan keluarga di atas sebab kesihatan seperti sawan yang kerap.

Kelas Pendidikan Khas telah menerima seorang Pembantu Pengurusan Murid N17 pada bulan Jun 2007 dan 2 orang lagi telah diterima pada bulan Mei 2008. Tugas mereka ialah membantu guru di dalam mengurus murid-murid pendidikan khas, penyediaan kelas sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan dan lain-lain tugas yang diarahkan oleh pihak pentadbir.

Pada tahun 2010, jumlah murid Program Pendidikan Khas Intergrasi Bermasalah Pembelajaran atau kini dikenali sebagai PPKI, adalah seramai 23 orang,(2011 seramai 24 orang). Dua buah kelas telah dibuka iaitu pada bulan Mac 2010 ialah kelas Seroja dan pada Julai 2010 ialah kelas Cempaka. Guru pendidikan khas juga bertambah iaitu seramai 6 orang. Mulai 16 Februari 2010 juga jawatan Penolong Kanan Pendidikan Khas telah diisi oleh guru penyelaras program.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Untuk pos saya yang pertama, rasanya pendekatan saya adalah sedikit santai. Tetapi bagi satu sesi pembelajaran di dalam kelas yang terdiri daripada kalangan murid yang mengalami masalah pembelajaran (Kelas Pendidikan Khas) ianya mungkin akan menjadi amat sukar kepada mereka. Namun ianya adalah satu aktiviti yang amat berkesan untuk merangsang minda mereka.

Sehubungan itu, Jigsaw Puzzle adalah satu aktiviti yang menarik.

Cubalah...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nur Iman Humaira binti Hairul Azwan

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers